Jabatan Kimia Malaysia (KIMIA Malaysia) adalah satu agensi di bawah seliaan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI). Peranan utama Jabatan ini adalah menyediakan perkhidmatan analisis, penyiasatan dan perundingan saintifik kepada pelanggan bagi memastikan penguatkuasaan undang-undang, ketenteraman, keselamatan dan kesihatan awam serta perlindungan hak pengguna demi kesejahteraan hidup rakyat. Skop utama Jabatan adalah analisis sains forensik, analisis keselamatan air minum, makanan dan alam sekitar, analisis industri dan tarif kastam serta pengurusan kualiti dan penyelidikan. Jabatan juga berperanan dalam pengeluaran laporan analisis produk bagi maksud perdagangan antarabangsa, klasifikasi produk-produk mengikut Tarif Kastam untuk pemungutan hasil negara serta jaminan keadilan dalam prosiding jenayah dan sivil.
KIMIA Malaysia perlu meminda Perintah Fi (Analisa dan Lapuran) 1979 di bawah Akta Fi 1951 [Akta 209] memandangkan kadar fi yang dikenakan tidak pernah dikaji semula sejak tahun 1979. Dalam tempoh 45 tahun lepas, KIMIA Malaysia telah melalui pelbagai transformasi merangkumi penggunaan teknologi analisis moden, pematuhan kepada piawaian antarabangsa serta pengoperasian peralatan saintifik berteknologi tinggi yang memerlukan kos penyelenggaraan berterusan.
Bayangkan analisa bahan pemanis dalam makanan hanya dicaj sebanyak RM 20.00 sahaja (berdasarkan Perintah Fi 1979) sedangkan kos analisis semasa dengan pertambahan kos sumber manusia, peralatan saintifik makmal terkini dan bahan kimia adalah sejumlah RM 200.00. Ini tentunya merupakan satu kerugian kepada pulangan pelaburan wang Kerajaan. Ini hanyalah satu contoh parameter ujian dan KIMIA Malaysia mempunyai 462 perkhidmatan parameter ujian yang ditawarkan.
Kadar baharu yang disyorkan adalah berhemah dan telus serta berasaskan kajian kos sebenar dengan perbandingan caj makmal swasta supaya ianya kekal munasabah dan tidak membebankan pengguna. Lagipun, hasil kutipan Perintah Fi Jabatan Kimia Malaysia ini nanti akan disalurkan sebagai hasil kutipan Kerajaan Malaysia yang mana akan digunakan untuk menaiktaraf kehidupan rakyat.
Tuan/Puan boleh mengemukakan ulasan dengan merujuk kepada dokumen konsultasi seperti berikut:
Slaid i. Dokumen konsultasi ini merangkumi slaid pembentangan yang menggariskan latar belakang Jabatan Kimia Malaysia, termasuk sejarah penubuhan serta peranan strategik Jabatan dalam menyokong keselamatan awam dan kepentingan negara. Dokumen ini turut menjelaskan asas pertimbangan serta mekanisme penetapan kadar fi yang dicadangkan secara telus dan berhemah.
Dokumen ii. Perbandingan kadar fi 1979 berbanding tahun 2025 turut disertakan bagi menunjukkan kewajaran, keseimbangan dan daya saing cadangan kadar fi selaras dengan keperluan semasa.
Have Your Say
Share your thoughts and feedback
Engage with stakeholders and provide administrative oversight on feedback.
No comments yet
No Surveys Available